Tag Archive | k-pop

K-POP, HIBURAN YANG MENGHIBURKAN ATAU OBSESI YANG MERACUNI?

kpop

Sebut sahaja Korea, pasti ternganga mulut-mulut anak muda kita terutama anak-anak gadis kita. Pelbagai gambaran bermain di fikiran mereka dan yang menjuarai senarai gambaran itu tidak lain tidak bukan K-Pop dan artis-artisnya. Apabila bersembang dengan adik-adik yang lebih muda, mereka pasti teruja bilamana saya katakan saya merupakan graduan daripada korea dan menuntut ilmu disana selama 5 tahun. Soalan pertama yang mereka akan tanyakan pada saya kebiasaannya adalah, “akak pernah jumpa atau terserempak tak dengan artis korea disana?”. Melihat pada soalan adik-adik ini, dapat saya tafsirkan betapa hiburan terutamanya K-Pop ini bertakhta dalam hati mereka.

Tidak saya nafikan, korea juga telah mendapat tempat dihati saya. Manakan tidak, disanalah saya mengenal diri saya yang selama ini terpinga-pinga mencari erti hidup. Di korea jugalah saya mula menghargai dan mencintai islam yang saya anuti dan saya warisinya daripada kedua orang tua. Setiap pelajar Malaysia dikorea mahu tidak mahu pasti akan diperkenalkan dengan K-Pop dan artis-artisnya kerana itu semua merupakan sebahagian daripada bahan-bahan bantuan mengajar guru-guru disana. Para guru atau kami panggil mereka dengan panggilan “sonseang-nim” menggalakkan kami untuk mendengar lagu-lagu korea dan menonton rancangan-rancangan korea dengan alasan agar kami dapat belajar dan menguasai bahasa korea dengan baik. Secara tidak langsung sebenarnya K-Pop telah mencuri tempat dalam rutin hidup kami.

sudoh, guane nok keluor gini???

sudoh, guane nok keluor gini???

Lama kelamaan jiwa ini terasa kosong, seakan-akan ada yang tidak kena. Apabila mendirikan solat atau melakukan ibadah yang lainnya seakan tiada penghayatan, hilang rasa khusyuk. Rupa-rupanya bukan saya seorang sahaja yang merasa demikian tetapi beberapa orang rakan yang lain turut merasainya. Mulai detik itu, kami rasakan yang kami perlu lakukan sesuatu. Bukan sahaja untuk kebaikan kami, malah untuk kebaikan rakan-rakan yang lain. Kami mulakan dengan halaqah kecil-kecilan untuk membaca surah yasin diikuti dengan tazkirah ringkas setiap hari khamis bergilir-gilir dikalangan kami. Begitulah kami diperkenalkan dengan tarbiyah yang mana daripada halaqah yang biasa-biasa kepada usrah yang lebih bermatlamat bersilibus bersama beberapa aktiviti ruhaniah lain yang lebih mengisi jiwa-jiwa kami. Daripada situ, kami memperolehi kekuatan untuk meninggalkan k-pop dan artis-artisnya sedikit demi sedikit sehingga k-pop tidak lagi menguasaijiwa kami.

Tidak salah untuk berhibur, tetapi pastikan hiburan yang kita pilih itu menepati garis panduan syariat. Apabila hiburan itu telah membuatkan kita melanggar batas syariat dan melalaikan kita daripada melakukan tiap-tiap suruhan ALLAH dengan sebaik-baiknya, bagi saya itu bukan lagi HIBURAN akan tetapi satu OBSESI yang meracuni akal fikiran kita di luar kesedaran kita. Carilah hiburan yang menambahkan ingatan dan kecintaan pada ALLAH, Rasulullah dan agama yang kita anuti. Jangan biarkan k-pop yang kita tidak fahami tiap bait katanya kita sebut-sebutkan tiap masa akan tetapi perbanyakkanlah zikrullah dan selawat ke atas Rasulullah. Terkadang bait kata lagu-lagu k-pop yang kita dendangkan itu secara tidak kita sedari boleh mencabut iman-iman dihati kita semua dan lebih parah membatalkan akidah!! Ampunilah kami wahai Yang Maha Pengampun.

Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada ALLAH dan taatlah kepada Rasul ALLAH, dan JANGANLAH kamu BATALKAN AMAL-AMAL kamu! (Muhammad 47:34)